Ahad, 22 Julai 2012

Tunjukkan Kami Jalan Pulang.....

Hidup ibarat perantau, yang mengembara dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Dan dibumi kita singgah sebentar mencari bekalan sebelum meneruskan langkah ke destinasi lain. Ada yang mengumpul bekalan makanan, minuman, membaiki kenderaan dan ada pula yang mengumpulkan barang yang tidak diperlukan seperti cenderamata, emas perak dan sebagainya hingga pasti muatannya nanti melambatkan perjalanan mereka.

Ada juga perantau ini yang terus mendirikan rumah yang besar dan indah, waima ianya hanyalah tempat persinggahan jua. Ada juga yang tidak mengumpul bekalan tetapi menagih-nagih dari yang telah mengumpulnya. Turut sama dari mereka yang telah ada bekalan, tapi belum masa sesuai baginya bertolak, mereka mengambil jalan pintas bergerak sendiri akhirnya pergi dalam kesesatan.



Inilah lumrah kehidupan yang ditempuhi setiap manusia. Bermula dari Alam Roh berpindah ke Alam Rahim, dari Alam Rahim ke Alam Dunia, berhijrah ke Alam Barzakh berimpun di Mahsyar sebelum ke Syurga dan Neraka.




Dunia persinggahan adalah tempat mengumpul bekalan sebelum meneruskan langkah bermusafir seterusnya. Bekalan yang dikumpul adalah makanan Iman dan minuman Islam, ubatan Akhlaq dan tunggangan Akidah. Berbekalkan matawang Al-Quran dan Hadis, kita membelinya dari satu-satunya penjual yang ada dan terkenal iaitu Allah s.w.t yang teramat Pemurah dan terkenal dengan pemberian lipat gandanya dari hanya satu pembelian terbaik bernama Ikhlas.



Pastikan kederaan berada dalam keadaan baik, bekalan mencukupi dan ada perlindungan untuk langkah seterusnya. Upahlah Solat dan Ibadat menjadi pelindung agar tidak dirompak oleh penyamun Syaitan dan Iblis yang mahu pengembara mati kekeringan ditengah jalan tandus.


Lihat masa yang berdetik, apa mungkin nama kalian akan tercatat pada minit seterusnya untuk memulakan perjalanan seterusnya? Wallahua'lam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan